Here

Wednesday, 23 December 2009 | Category : Omelan

Kotak televisyen, komputer riba, dan segala macam perkakas elektrik di rumahku meletup gara-gara kemalangan petir. Modem pula memang sudah cacat berminggu. Membantu tidak.

Maka sejak kebelakangan ini, saban hari aku mengembara ke pelbagai pusat siber. Dari yang paling canggih ke paling klasik. Sekarang aku di pusat siber era 90an, barangkali. Sempit. Berkongsi tapak dengan kedai gunting rambut. Gedabak komputernya sudah kelabu kekuningan. Satu huruf aku tekan memakan 21 saat untuk timbul. Ya, aku kira. Tidak banyak yang boleh aku buat selain itu. Belum aku hidupkan Yahoo Messenger, sudah terasa ngeri.

Di sini tiada siapa bermain Mukabuku. Di sebelahku seorang lelaki India berpakaian sederhana namun kemas, sibuk menaip entah akaun entah invois perniagaan. Aku buta nombor. Tapi dari perbualan telefonnya, aku pasti dia sedang membuat kerja-kerja penting. Barangkali dia tidak ada komputer di rumah? Barangkali perniagaan kecilnya sudah sedikit berkembang? Dari mencatit buku kini dia perlu belajar Microsoft Excel?

Di belakangku dua orang gadis berduduk rapat, berbual dialek Kelantan. Pekat, namun sedikit aku faham kerana dua orang adikku juga belajar di sana. Hilang sudah bahasa Kuala Lumpur. Dua gadis ini sedang mengisi semacam borang di internet. Borak-borak mereka sekitar isu pencarian kerja. Baru berhijrah ke bandar, mungkin? Atau baru tamat belajar? Manis berbaju kurung dan bertudung; belum dicomot daki kota.

Telefon aku mati dan aku seperti suka ia mati. Petang tadi waktu hujan meneman aku memandu, kami bertembung dengan pelangi dan tidak semena-mena aku terasa hendak menangis.

Mungkin kerana sudah pasti – tinggal kurang dua bulan aku di tanahair ini.

6 Comments for “Here”

  1. 1melody

    2 bulan lagi? ah….cepatnya masa berlalu..

  2. 2pisey

    hu.dah nak pergi.

  3. 3FiQnocchio

    rasa sedih pulak biarpun x knal akak personally…
    be strong.. =)

  4. 4nuridrin

    2 bulan. tak lama je lagi. hmm

  5. 5NHH@HD

    :’(

  6. 6Ayyman R

    I saw u at Rantai. Nak beli cd tapi kena balik awal and ramai orang pulak, alahai. Btw, mulut sekarang tak habis berbunyi ‘lampu jalan’ je. Good one :)

Leave a comment